Make your own free website on Tripod.com

the old men and the sea

Blog Tools
Edit your Blog
Build a Blog
RSS Feed
View Profile
« May 2012 »
S M T W T F S
1 2 3 4 5
6 7 8 9 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31
You are not logged in. Log in
Entries by Topic
All topics  «
Sunday, 29 January 2006
Pemikiran picisan aibkan intelektual


Oleh: MOHD. AFFANDI HASSAN


KARYA picisan terdapat dalam semua jenis tulisan, yang kreatif atau bukan kreatif, begitu juga dalam penilaian karya hatta yang dibuat oleh panel Anugerah Sastera Negara sekalipun.

Kritik sastera juga dibanjiri tulisan-tulisan yang bersifat picisan dari segi analisis dan penilaian karya. Hasil penyelidikan seperti tesis, latihan ilmiah dan seumpamanya tidak akan terlepas daripada sifat picisan ini jika penulisnya tidak berhati-hati dalam merangka masalah yang hendak dikaji, penggunaan bahan yang perlu dan sesuai, analisis dan pembuktian yang menyeluruh dan padu, penilaian yang tepat, jitu dan objektif bersandarkan teori yang dipilih atau digunakan.

Bayangkan sebuah tesis disandarkan kepada suatu kerangka kasar yang kabur dan keliru, misalnya disandarkan kepada lakaran grafik (SPB4L/SPB4K) rekaan seorang sarjana yang mengaku pakar pemikiran kreatif bersepadu yang sebenarnya bukan teori. Tetapi hanya sejenis kerangka taklimat yang bercelaru, berubah-ubah tajuknya dari 4L (luhur, lahir, logik, lateral) tidak semena-mena menjadi 4K (keimanan, kebitaraan, kesaintifikan, kekreatifan) untuk kononnya menggambarkan sistem pemikiran bersepadu.

Sekiranya tesis ditulis dengan memakai kerangka yang kacau seperti ini, maka tesis itu akan menjadi sebuah tesis picisan, kerana dasarnya adalah ``pemikiran picisan''.

Semua karya adalah picisan jika strukturnya longgar, tidak menyerlahkan kecanggihan analisis yang membolehkan pembaca memahami dengan jelas idea pokoknya dan tidak memberikan kesempatan kepada pembaca untuk bersetuju atau menentangnya. Pendeknya, karya itu runtuh bertaburan jika dikritik dan dicabar secara ilmiah dengan analisis yang tajam.

Untuk melihat persoalan ini secara konkrit, bandingkan dua contoh ini. Syarahan pengukuhan oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas bertajuk Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu adalah sebuah karya akademik yang berkualiti tinggi dari segi pemikiran dan penghujahan serta analisis. Manakala syarahan perdana oleh Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh bertajuk Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan, adalah sebuah karya picisan (atau paling baik lebih dekat menghampiri karya picisan) dan tidak berkualiti dari segi pemikiran, penghujahan dan analisis.

Kesimpulan ini ditegaskan antara lain oleh Profesor Dr. Siti Hawa Salleh yang mendakwa Dr. Muhammad Haji Salleh seorang tunanetra (orang buta) yang sampai dalam taman ketika malam gelap-gelita, tidak dapat melihat jenis-jenis bunga yang ada di dalam taman itu (lihat Budi Kencana, hal. 255).

Inilah puncak sifat picisan dalam karya akademik, yang hanya boleh dikesan oleh seorang pakar. Dua contoh ini boleh dijadikan bahan analisis untuk memahami konsep picisan dalam konteks akademik.

Dalam konteks kreatif pula, novel Salina (karya A. Samad Said) dan Kawin-Kawin (karya Azizi Haji Abdullah) adalah contoh karya picisan dari segi pengolahan dan analisis persoalan yang dikemukakan. Sementara novel Achdiat Karta Mihardja terbaru Manifesto Khalifatullah adalah sebuah novel ilmu yang bermutu. Dalam tulisan ini akan dibincangkan beberapa contoh lain sebagai kajian kes dalam penulisan bercorak picisan ini.

Untuk memahami perbincangan seterusnya, perlu dijelaskan sedikit mengenai pandirisme dalam kritikan sastera Melayu. Istilah ``pandir'' menjadi masyhur dan sangat penting kerana dikait dengan cerita Pak Pandir, tokoh jenaka Melayu yang terbesar dan paling lucu kerana kebodohan. Kepandirannya menjadi warisan bangsa Melayu hingga sekarang dan menjadi pegangan kebanyakan ahli akademik, sarjana, pengkritik sastera dan para sasterawan.

Istilah ``pandir'' merujuk kepada sifat mediocre, yang dengan cantik sekali digambarkan dalam ayat ini (diperhatikan baik-baik): What had been a good little business became a mediocre large activity.

Kita akan lihat betapa benarnya maksud ayat ini dalam contoh-contoh yang akan dibincangkan di sini. Dalam cerita jenaka Melayu, Pak Pandir diberi perwatakan bodoh, tetapi dia juga seorang yang bijak menipu isterinya. Dia tidak bodoh sepanjang masa, tetapi seorang yang mediocre (yang pandir) kerana menyamakan sekam dengan padi bernas dan menganggap ratusan semut yang menyeberang anak sungai melalui ranting kayu adalah bukti bahawa dia seorang diri sah tidak akan mematahkan ranting kayu itu.

Pak Pandir terpesona dengan bilangan, bukan perhitungan berasaskan logik dan pengalaman yang sahih. Pemerhatian ini sangat penting dalam pembicaraan kita tentang aspek picisan dalam sastera, kerana ``logik Pak Pandir'' masih lagi dipakai, malah dijadikan ukuran dalam menilai karya sastera Melayu.

``Kepandiran'' atau pandirisme ialah sejenis mentaliti yang lekas terpesona dengan penglihatan, lalu membuat kesimpulan bahawa apa juga yang kelihatan, apatah lagi jika kelihatan dalam bilangan yang banyak pula, maka pastilah bagus dan bernilai.

Cara ini dikonkritkan oleh Mana Sikana dalam ``teori'' kritikannya yang diberi nama =teksdealisme (perhatikan pemilihan nama itu). Walaupun namanya kelihatan hebat dan menggerunkan, namun maksudnya mudah saja. Teksdealisme ialah the ideal text, yakni karya yang paling sempurna. Menurut Mana Sikana, teksdealisme mempunyai empat prinsip.

Pertama, penghadiran, yang menurutnya ialah ``usaha transformasi teks'', yang secara mudah bererti menghasilkan karya. Kedua, pelanggaran iaitu ``usaha pembezaan dengan teks sebelumnya atau dalam bahasa kampungan yang mudah, karya baru tidak sama dengan karya terdahulu''.

Ketiga, pengukuhan, yakni ``usaha pendewasaan pengarang untuk menghasilkan teks yang unggul'', dalam bahasa yang terang bermaksud karya berikutnya mestilah lebih baik daripada sebelumnya, baru ada kemajuan.

Keempat, pengarangan iaitu ``usaha seseorang penulis untuk mencapai keperibadian atau individualisme''. Yang keempat ini kata Mana Sikana ``adalah kodifikasi terakhir teori teksdealisme dan merupakan kemuncak pencapaian''. Sesiapa yang biasa membaca karangan Harold Bloom tentu akan dapat mencium betapa tengiknya bau ketiak Bloom di sini!

Dengan menggunakan kerangka itu, Mana Sikana meneliti novel-novel terpilih Shahnon Ahmad dan mendapati semua prinsip itu dilalui Shahnon kerana ``teks Shahnon memiliki mukjizat atau kekuasaan sebagai teks sastera'' lalu beliau isytiharkan Shahnon sebagai ``raja novelis Malaysia'' (sungguh hebat teksdealisme ini).

Antara perkara utama yang ditekankan oleh Mana Sikana dalam ``teorinya'' itu (yang sebenarnya bukan ``teori'' hanya panduan umum saja) ialah kepelbagaian tema dari satu teks ke satu teks ``mengalami anjakan paradigma dan menuju kesempurnaan''.

Waktu rencana itu ditulis, Shit karya Shahnon belum terbit. Jika kita percaya kepada analisis Mana Sikana, kita boleh membuat kesimpulan bahawa Shit adalah kemuncak pencapaian Shahnon kerana di dalamnya terkandung semua prinsip, ciri, sifat, tema dan mukjizat sastera yang dipunyai Shahnon Ahmad.

Benarkah Shit Shahnon Ahmad mukjizat sastera Melayu karya seorang ``raja novelis Melayu?'' Nampaknya dengan menggunakan ukuran teksdealisme, kesimpulan ini memang tepat menurut Mana Sikana.

Mari kita uji kesahihan ``teori'' ini dengan mengambil Alberto Moravia sebagai perbandingan. Moravia boleh dibandingkan dengan Shahnon kerana kegemarannya kepada erotika, cuma dalam konteks Moravia, seks dan erotika adalah penjelmaan falsafah penulisannya, tetapi dalam karya Shahnon Ahmad seks adalah umpan untuk menarik minat pembaca.

Menurut analisis R.W.B. Lewis (dalam On Contemporary Literature 1969) ed.R. Costelanetz) yang membaca Moravia dalam bahasa asal, karya terbaik Moravia ialah novel pertamanya, yang ditulis ketika beliau belum lagi mencapai umur 18 tahun, berjudul The Time of Indifference, yang hanya pada tahun 1928 baru diterbitkan setelah penulisnya mencapai umur dewasa (Moravia lahir 1907).

Kalau analisis R.W.B. Lewis ini boleh dipercayai, ternyata Moravia tidak dapat mengatasi karya pertamanya, oleh itu dari segi pencapaian, menurut teksdealisme Shahnon Ahmad ternyata jauh lebih unggul dan sebagai sasterawan lebih hebat daripada Moravia.

Barangkali Mana Sikana betul, tetapi jika kita analisis seterusnya, kita mula ragu dan lebih percaya teksdealisme tidak boleh dipakai untuk mengukur perkembangan seseorang penulis dan tidak boleh dipakai untuk menilai karya-karyanya.

Tidak kurang menariknya ialah usaha SN Profesor Datuk Dr. Syed Othman Syed Omar (S. Othman Kelantan) yang melontarkan sejenis idea yang dinamakannya ``kritikan Melayu''. Tulisan beliau itu penting kerana dihasilkan selepas beliau diberi gelaran doktor, oleh itu kualiti akademiknya terjamin.

Tajuk itu menarik kerana ia menjanjikan satu disiplin kritikan yang dinamakan ``kritikan Melayu'', yang mungkin boleh dipakai untuk menilai karya sastera dunia dari perspektif kecerdikan orang Melayu. Menurut beliau, orang Melayu sangat bijak, berani, sopan, tajam akalnya, beradab dan halus dalam melakukan kritikan, seperti terlihat dalam peribahasa, cerita rakyat, cerita penglipur lara, hikayat-hikayat Melayu dan lain-lain.

Dari contoh-contoh yang diberikan, sangat ketara sifat didaktiknya, sangat keras ajaran moralnya dan sangat jelas perutusannya. Semua itu disampaikan melalui cerita, yang banyak menggunakan kias ibarat, sindiran, teguran dan tempelak, nasihat dan amaran.

Sifat didaktik, moral, perutusan itu telah ditolak dalam sastera Melayu moden, malah panel Anugerah Sastera Negara 1985 memuji Samad Said kerana novel-novelnya tidak mempunyai perutusan, tidak ada tema khusus, tidak menekankan moral, tidak didaktik, tiada khutbah dan sebagainya.

Pendeknya, tidak ada pengajaran apa-apa selain untuk memaparkan kehidupan manusia tertindas, menderita, miskin dan sebagainya. S. Othman Kelantan sendiri menegaskan novelnya Ruang Perjalanan tidak ada plot, oleh itu tidak ada cerita.

Dalam Orang Kota Bharu pula dia berbangga berada di atas pagar, suatu perbuatan yang tidak dilakukan dalam tradisi Melayu yang selalu memihak kepada kebaikan. Beliau memuji Si Tenggang sebagai ``seorang intelektual dalam zamannya, pulang untuk membuat pembaharuan'', dengan menderhakai ibunya, yang ditafsirkan sebagai masyarakat yang jumud.

Tafsiran dan penilaian berasaskan ``kritikan Melayu'' ini sangat aneh, salah dan tidak masuk akal. Budaya Melayu yang mengutuk penderhakaan, dalam ``kritikan Melayu'' menyanjungnya. Apakah yang hendak dicerminkan oleh ``kritikan Melayu'' sebenarnya? S. Othman Kelantan tidak langsung berbicara tentang disiplin kritikan, yang tujuannya untuk menilai dan mentafsirkan karya kreatif berasaskan prinsip-prinsip tertentu.

Beliau tidak merumuskan apakah prinsip ``kritikan Melayu'' itu berasaskan ciri-ciri yang disebutnya. Bagaimana ciri-ciri itu boleh digunakan untuk membina sebuah ``teori'' ``kritikan Melayu?'' S. Othman Kelantan tidak menunjukkannya. Jadi apakah ``kritikan Melayu?'' Tidak ada. Itulah kesimpulan S. Othman Kelantan sendiri. Beliau enggan menunjukkan kecanggihan analisisnya sebagai sarjana terkenal, dengan itu sengaja tidak menunaikan janjinya membina disiplin ``kritikan Melayu'' itu.

Kesimpulannya, para sarjana dan sasterawan yang ghairan berteori ini menjadikan diri mereka ibarat nelayan menggunakan jala untuk menangkap ikan paus. Tidak saja orang itu tidak tahu fungsi jala, malah dia pun tidak kenal ikan paus. Kalau begitu, lebih baik baginya membiarkan orang lain yang tahu dan mempunyai kemahiran serta alat-alat yang sesuai untuk menangkap ikan paus tadi. Yang tidak mampu biarlah mengail belukur berumpan cacing di tebing-tebing sungai saja.

Sumber : Utusan Malaysia bertarikh 12 Oktober 2005


Posted by weaverwebtp at 9:57 PM WST
Post Comment | Permalink

Newer | Latest | Older